Followers

Saturday, March 10, 2018

Cara Menguruskan Baki Tali Pusat Bayi Selepas Lahir


Kredit : Carian Google


Selain menitikberatkan pengurusan diri buat ibu semasa tempoh berpantang, penjagaan bayi juga menjadi keutamaan. Antara perkara penting buat ibu dan bapa adalah menguruskan baki tali pusat bayi.


Apa yang tertinggal pada pusat bayi merupakan sumber utama yang menghubungkan bayi dan ibu semasa dalam kandungan. Tali pusat menggerakkan fungsi utama dalam menyalurkan nutrien dan oksigen daripada ibu kepada bayi. 


Perasankah anda, sebaik sahaja tali pusat dipotong selepas bayi selamat dilahirkan, sedikit baki tali pusat masih ada dan terlekat di bahagian pusat bayi. 


Apabila bayi sudah boleh dibawa pulang ke rumah, tugas ibu, bapa atau penjaga akan terus memastikan keadaan baki tali pusat bayi tersebut berada dalam keadaan baik. Penting bagi ibu, bapa atau penjaga memastikan tali pusat bersih dan kering sehingga ia tertanggal sendiri.


Lazimnya baki tali pusat akan terjatuh atau tertanggal dalam masa 2 minggu selepas bayi dilahirkan. Lebihan atau baki tali pusat bayi yang tertanggal adalah lebih kurang 2-3 sentimeter. Baki tali pusat akan berubah warna daripada kuning kehijauan sehingga kepada warna hitam serta lebih kering.


Cara Mengendalikan dan Menguruskan Baki Tali Pusat Bayi

1) Perkara paling penting ialah memastikan kawasan baki tali pusat bayi kering dan bersih. Kadangkala anda boleh membiarkan seketika dan beri pendedahan udara terhadap baki tali pusat bagi membenarkan kawasan tersebut lebih kering.


2) Ada sesetengah doktor pediatrik menyarankan ibu membersihkan kawasan baki tali pusat bayi dengan menggunakan kapas beralkohol. Namun ada segelintir pendapat pula mengatakan lebih elok membersihkannya dengan hanya menggunakan air biasa kerana dikatakan ia melambatkan proses penyembuhan. Namun, apa yang penting adalah kawasan tersebut kering dan bersih sahaja.


3) Ibu perlu kerap menukar lampin bayi bagi mengelakkan berlakunya iritasi pada kawasan tersebut kerana berkeadaan lembap.


4) Dalam tempoh 2 minggu, baki tali pusat biasanya akan jatuh dan tertanggal. Pada ketika itu, anda akan perasan terdapat sedikit warna merah jambu di sekitar pusat. Apabila kulit tersebut menjadi semakin baik dan menjadi warna sekata, ia sudah selamat untuk bayi.


5) Ia sesuatu yang normal jika anda menyedari terdapatnya sedikit kuping atau darah kering sekitar kawasan baki tali pusat.


6) Jangan tarik tali pusat untuk menanggalkannya, biarkan ia jatuh atau tanggal dengan sendirinya.


7) Jangan risau untuk memandikan bayi seperti biasa walaupun baki tali pusat masih belum jatuh. Tidak mengapa jika ia terkena air dan ia tidak akan melambatkan proses pemulihan.


8) Tidak perlu menggunakan antiseptik untuk membersihkan baki tali pusat. Hanya cukup dengan memastikan ia bersih dan kering sahaja. Namun jika bayi anda dilahirkan pramatang, anda digalakkan untuk mencuci kawasan baki tali pusat dengan antiseptik kerana sepanjang tempoh rawatan atau penjagaan, bayi tidak dimandikan.


Alatan yang digunakan untuk menyepit baki 
tali pusat bayi (umbilical cord clamp)
Kredit : Carian Google


Bahaya Jika Terdapat Jangkitan

Amat penting untuk memastikan baki tali pusat dijaga sebaiknya sebelum ia jatuh kerana jika tidak dijaga, ia berisiko untuk mengalami jangkitan, seterusnya memberi kesan terhadap kesihatan bayi.


Anda boleh mengetahui baki tali pusat itu mengalami jangkitan jika bayi anda demam panas, menjadi lesu dan tidak sihat. Bukan itu sahaja, jika bayi anda kurang menyusu seperti biasa, cuba periksa kawasan baki tali pusat kerana kemungkinan ia telah mendapat jangkitan.


Baki tali pusat yang tidak dijaga baik juga terdedah kepada jangkitan jika anda menyedari kawasan tersebut menjadi bengkak atau berair mahupun mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan. Jangan bertangguh untuk berjumpa doktor jika anda mendapati kawasan tersebut berada dalam keadaan ini.


Begitu juga jika anda mendapati kawasan sekitar baki tali pusat kelihatan kemerah-merahan. Segeralah berjumpa dengan doktor. Anda juga perlu mengambil perhatian jika bahagian dalam kawasan baki tali pusat lambat pulih iaitu melebihi tempoh 2 minggu. Bawa bayi berjumpa doktor bagi pemeriksaan lanjut.



Umbilikal Granuloma

Umbilikal granuloma
Kredit : Carian Google


Umbilikal granuloma merupakan ketulan tisu merah dan berair yang boleh terbentuk pada pusat bayi. Biasanya ia akan kelihatan pada minggu pertama kelahiran ataupun selepas tali pusat kering dan tertanggal. Ia berbeza dengan jangkitan kerana ia tidak disertai dengan bengkak, kemerahan, kehangatan ataupun demam.


Umbilikal Granuloma tidak menyakitkan, walau bagaimanapun ia mungkin akan mengeluarkan lelehan kecil cairan yang boleh menyebabkan kulit sekitarnya merah dan mendapat jangkitan.


Jika ia tidak hilang dengan sendirinya, rawatan dan nasihat daripada doktor amat diperlukan. Biasanya doktor akan menggunakan silver nitrate dalam usaha menghilangkan granuloma. Lazimnya ia mengambil beberapa kali rawatan sehingga sembuh.



Umbilikal Hernia

Umbilikal hernia
Kredit : Carian Google

Selain granuloma, hernia adalah salah satu lagi keadaan yang jarang-jarang berlaku pada sekitar kawasan pusat.


Umbilikal hernia dikenalpasti dengan adanya benjolan pada pusat atau lubang kecil di bahagian otot dinding perut yang membolehkan tisu terkeluar apabila ada tekanan di dalam perut, contohnya apabila bayi menangis.


Namun, ia bukanlah perkara yang serius dan biasanya ia akan surut dengan sendirinya dalam masa setahun. Jika anda berasa musykil, segera berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat.


Sumber :

Majalah Ibu & Anak Ogos 2015


* Produk ini tidak bertujuan untuk mendiagnosis, merawat, mengubati atau mencegah sebarang penyakit.

***********************************************************************


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Daftar Ahli Shaklee Dengan Saya dan Mula Jana Pendapatan Dari Rumah Hari Ini :)




Like Page Superb Vitamin For Life :)